Jongkong emas lebih RM2 juta nanti pemain badminton Malaysia

jongkong-emas.public-gold

Wow… Itu yang boleh saya katakan apabila jongkong emas 12.5 kilo bakal jadi milik pemain badminton negara jika berjaya bawa balik emas di Olimpik 2012. Ia merupakan sumbangan Datuk Seri Andrew Kam yang juga memiliki lombong emas di Raub.

Jongkong emas lebih RM2 juta nanti pemain badminton Malaysia

KUALA LUMPUR: Jongkong emas untuk pemenang pingat emas. Itulah ganjaran yang bakal diterima pemain badminton Malaysia yang menyumbangkan pingat emas kepada negara pada Sukan Olimpik London akan datang.

Memperkenalkan insentif itu pada sidang media di sini hari ini, Presiden Kuala Lumpur Rackets Club (KLRC) Datuk Seri Andrew Kam berkata beliau akan menyerahkan jongkong emas seberat 12.5kg bernilai lebih RM2 juta itu kepada pemenang pingat emas. ”Jika terdapat lebih daripada dua pemenang pingat emas, jongkong emas itu akan dibahagikan sama rata,” katanya bahawa insentif jongkong emas itu hanya diberikan kepada pemain badminton kerana beliau meminati sukan berkenaan.

Melontarkan cabaran kepada pemain badminton negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Olimpik, beliau berkata tumpuan rakyat Malaysia ialah terhadap pemain badminton kerana peminat meminati sukan berkenaan.

“Saya boleh menghasilkan emas, saya percaya mereka juga boleh menghasilkan emas (pingat),” kata Kam yang memiliki lombong emas di Raub, Pahang.

Secara peribadi, Kam percaya Datuk Lee Chong Wei masih menjadi taruhan terbaik Malaysia untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik.

“Beliau (Chong Wei) adalah harapan terbaik Malaysia. Beliau adalah satu-satunya pemain yang boleh menandingi Li Dan (China).

“Kita juga boleh bergantung kepada beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying). Kita tidak tahu, mereka mungkin boleh membuat kejutan di Olimpik. Beregu lelaki kita (Koo Kien Keat-Tan Boon Heong) juga berpotensi dan antara pemain berpengalaman,” kata Kam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi dan enam pemain badminton negara yang akan beraksi di Olimpik London iaitu Chong Wei, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying dan Tee Jing Yi.

Mengenai insentif terkini yang diberikan kepada skuad badminton, Chong Wei berkata insentif itu akan memberi sokongan moral kepada mereka.

“Ia bukan kali pertama saya mendapat peluang memegang jongkong emas ini, ia adalah kali kedua. Kali pertama ketika saya melawat lombong emas berkenaan.

“Saya harap kali kedua saya memegangnya, ia akan menjadi milik saya,” kata Chong Wei dalam nada gurau.

Sementara itu, Sieh berkata insentif yang diberikan syarikat swasta untuk atlet yang beraksi di Olimpik, tidak akan memberi tekanan kepada mereka dalam usaha menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia pada Olimpik.

“Saya tidak fikir insentif yang diberikan syarikat-syarikat swasta ini akan memberikan tekanan kepada atlet kerana kebanyakan mereka berpengalaman.

“Saya percaya mereka tidak bertanding untuk wang tetapi mereka akan bersaing di Olimpik untuk kebanggaan negara. Wang bukan segala-galanya,” kata Sieh.

Chong Wei dan lima lagi pemain badminton negara akan berlepas ke London pada Khamis ini, sebagai penyediaan terakhir mereka di Universiti Bath. – BERNAMA

3,000 Penduduk Sebuah Kampung Di China Dapat ‘Bonus’ Jongkong Emas

gold-bar-565x386

Hampir 3,000 orang penduduk kampung di Changjiang, Wilayah Jiangsu di timur China menerima hadiah berupa jongkong emas seberat 100 gram setiap seorang sempena menyambut ulang tahun ke 40 desa tersebut minggu lalu.

Perkampungan itu dimiliki Jiangsu Xin Chang Jiang Group, salah sebuah syarikat perusahaan terkaya di republik tersebut

Penduduk juga diberikan peti simpanan keselamatan setiap seorang bagi memudahkan mereka menyimpan hadiah berkenaan.

Bagi tujuan keselamatan, syarikat itu merahsiakan tarikh emas itu hendak diagihkan tetapi memberitahu penduduk di situ agar bersedia untuk menerimanya pada 15 Mac lepas. Namun ia hanya diberikan dua hari selepas itu.

Untuk rekod, harga pasaran emas baru-baru telah mencecah RM192 untuk satu gram.

Sebelum ini, syarikat itu banyak mendirikan rumah untuk penduduk di situ serta kerap mengagihkan saham dan dividen wang tunai kepada warganya.

Bahkan mereka pernah berbelanja 64,000 Yuan (RM30,000) hanya untuk membina pintu masuk ke kampung tersebut.

Jiangsu Xin Chang Jiang Group terlibat dalam lapan bidang perusahaan merangkumi elektrik, metal, kimia dan lain-lain lagi.-mynewshub.my

Selamatkah sorok emas dalam rumah?

vietnam_gold

Jika kita menyimpan emas di rumah sudah tentulah hidup kita akan menjadi keluh kesah. Setiap hari takutkan pencuri atau perompak datang rumah.

Kesedaran masyarakat Vietnam terhadap simpanan emas fizikal telah lama di perkatakan. Semasa perang Vietnam dulu dikhabarkan mereka membawa emas fizikal ke luar negara untuk di tukarkan dengan barangan lain. Mengapa mereka suka menyimpan emas fizikal? mari kita baca artikel ini.

Sorok Emas Dalam Rumah
Sumber: Harian Metro 18/2/2012

TABIAT zaman berzaman orang Vietnam yang suka menyorokkan emas di rumah daripada menyimpan wang di bank dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kerajaan negara itu. Semuanya gara-gara harga emas yang terus melambung tinggi.

Berdasarkan Majlis Emas Dunia tahun lalu, Vietnam membeli lebih banyak emas perkapita berbanding India dan China. Harga emas domestik di Vietnam pula meningkat 18 peratus jauh lebih tinggi daripada harga pasaran emas dunia yang menyaksikan kenaikan 11 peratus.

Sememangnya tabiat yang sudah diamalkan turun temurun itu sukar dikikis.

Walaupun harga satu auns (28.4 gram) jongkong emas di Hanoi lebih RM300 berbanding di tempat lain, tetapi penduduk negara komunis itu tetap membelinya, kata pesara berumur 60 tahun, Truong Van Hue.<

“Saya masih suka melihat simpanan saya dalam bentuk emas. Ia lebih selamat bagi pesara macam saya. Saya boleh jual emas pada bila-bila masa, di mana-mana apabila memerlukan wang,” katanya.

Walaupun emas dianggap sebagai simpanan selamat, tetapi tindakan penduduk yang ‘menyerbu’ kedai emas membuka mata kerajaan Vietnam apabila mereka berhadapan dengan kadar inflasi sebanyak 18 peratus dan ketidakstabilan mata wang tempatan, dong.

Kerajaan cuba memperlahankan ‘demam emas’ dengan cuba mengawal perniagaan logam berharga itu selepas hampir 20 tahun mereka memberikan kebenaran rasmi kepada penduduk memiliki dan berniaga emas, walaupun perkara itu sudah diamalkan sejak berzaman lalu.

Antara langkah yang cuba dilakukan kerajaan tahun lalu ialah memasukkan dekri atau perintah yang meletakkan perniagaan jongkong emas Saigon Jewelry Company, pembuat dan pedagang emas terkemuka di Vietnam di bawah kawalan bank pusat.

Dekri itu juga mengehadkan perniagaan peniaga emas kecil-kecilan, mengurangkan lonjakan harga dan mencegah pelabur borong daripada merancakkan perniagaan logam berharga itu yang akan terus menjejaskan mata wang dong yang sememangnya sudah goyah.

Buat masa ini, kerajaan juga menimbangkan langkah kedua yang akan memaksa lebih 10,000 kedai emas keluar daripada perniagaan jongkong emas dan hanya memberi fokus kepada penjualan barang kemas saja.

“Mereka mahu kawal emas. Saya tidak boleh kata sama ada ia langkah yang baik atau tidak. Tetapi di sini (Vietnam), kami perlukan kestabilan ekonomi,” kata pengurus di Phu Quy Jewelry Company.

Atas sebab yang praktikal, kebanyakan penduduk Vietnam lebih suka melihat simpanan mereka dalam bentuk emas. Malah kadar faedah sebanyak 14 peratus yang ditawarkan oleh pihak bank kepada penduduk yang menyimpan dong tidak mampu menarik perhatian mereka apatah lagi ia jauh lebih rendah daripada kos sara hidup yang meningkat 18.6 peratus tahun lalu.

Kata pakar ekonomi, kejatuhan harga hartanah dan pasaran saham baru-baru ini menyemarakkan lagi pembelian emas dan bank pusat juga memberi isyarat bahawa nilai mata wang dong mungkin akan terus terjejas lewat tahun ini.

“Orang cuba mengawal kesan kemerosotan ini dengan membeli emas,” kata bekas pakar ekonomi kanan kerajaan, Le Dang Doanh.

Minat terhadap emas sebenarnya memang sudah lama tertanam dalam masyarakat Vietnam malah sejarah peperangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan membuatkan logam ini lebih bernilai.

“Empayar boleh jatuh, mata wang boleh berubah tapi emas akan terus bertahan,” kata pakar sosiologi, Vu Duc Vuong.

Kerajaan Vietnam bukan saja mengehadkan perdagangan emas tetapi akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menggalakkan penduduknya menyimpan emas di bank dan tidak lagi menyorokkannya di rumah.<

Bagaimanapun butir terperinci mengenai rancangan itu belum diuar-uarkan lagi tetapi pihak bank berkata, kerajaan sedang menimbangkan cara untuk menarik minat penyimpan dengan membuat tawaran daripada segi faedah dan keselamatan.

Bulan lalu gabenor bank pusat berkata, kerajaan menganggarkan penduduk Vietnam mempunyai antara 300 hingga 500 tan emas yang disimpan di luar sistem perbankan.

Menyimpan emas milik peribadi ini di bank akan memberi kelebihan kepada pihak berkuasa kerana ia boleh dijadikan alat untuk menstabilkan ekonomi.

“Jika faedah yang diberikan itu lebih tinggi dan pihak bank dapat membuktikan kredibiliti mereka, saya rasa 80 peratus penduduk akan menyimpan emas mereka di bank,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agribank Jewelry Company, Nguyen Thanh.

Langkah untuk mengekang perdagangan emas ini dimulakan selepas peningkatan dramatik taraf hidup penduduk Vietnam yang mencetuskan perubahan pada ‘sosialisme berasaskan pasaran’. Ini adalah sistem ekonomi Vietnam yang memberikan hak kepada penduduk memiliki perniagaan penghasilan komoditi, barangan dan perkhidmatan.

Pertumbuhan ekonomi selama dua dekad berjaya menaikkan status Vietnam kepada negara berpendapatan sederhana pada awal 2011, berdasarkan ukuran Bank Dunia.

Tetapi perkembangan ekonomi itu diancam oleh isu makro-ekonomi (isu ekonomi yang lebih besar) termasuk kadar inflasi yang sentiasa tinggi dan rasuah.

Penurunan kadar inflasi akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sekali gus meredakan ‘demam emas’, kata Daonh. Dia menambah kerajaan perlu membentuk polisi yang seiring dengan kepercayaan rakyat bahawa memiliki emas itu langkah yang ‘lebih selamat’.

“Jika polisi ini bertentangan dengan kehendak rakyat, mereka akan beralih kepada perniagaan tidak formal yang lebih sukar untuk dikawal,” katanya lagi.

Dia menganggarkan sebanyak 20 hingga 60 tan emas diseludup masuk ke Vietnam setiap tahun.

Bagaimanapun penduduk di Jalan Ha Trung di Hanoi, pusat perniagaan emas yang paling sibuk, agak skeptikal dengan langkah kerajaan itu.

“Mereka akan membuat peraturan yang lebih ketat tetapi saya percaya ada jalan untuk perniagaan jongkong emas,” kata peniaga emas, Tran Hoang Long. – AFP

p/s: Di Malaysia terdapat banyak bank yang menyediakan perkhidmatan peti simpanan selamat. Jika kita takut untuk menyimpan emas di rumah jawapan saya ialah anda boleh menyewa peti simpanan selamat tersebut.

Pelaburan dalam jongkong emas merugikan?

emas-perak-dinar-dirham

Adakah anda rasa pelaburan emas merugikan? Jika ya, anda adalah tergolong dalam golongan yang tidak berILMU. Kenapa saya berkata begitu? Dalam membuat sesuatu pelaburan, ilmu adalah pelaburan pertama kita. jangan kedekut untuk membeli bahan bacaan berkaitan emas dan jangan jadi bodoh sombong untuk bertanya. Janganlah hanya kerana melihat orang lain melabur emas, anda terikut-ikut untuk melabur emas juga tanpa perlu membuat kajian yang mendalam.

Bagi kes di bawah ini, saya rasa kesilapan utama beliau ialah membeli emas dengan syarikat yang menawarkan harga pada spread yang agak tinggi dan menjual dalam tempoh yang singkat tanpa melihat harga belian dan jualan. Inilah yang di katakan tidak berIlmu. Anda perlulah banyak buat bacaan sebelum meneruskan sesuatu pelaburan dan jangan buat bila orang lain buat. Buat lah berdasarkan ilmu yang kita ada.

Pelaburan dalam jongkong emas merugikan?

TSURI
Kajang, Selangor
SAYA ialah antara mereka yang memilih untuk melabur dalam jongkong emas melalui pembelian emas tulen 999.99.

Atas nasihat seorang kawan, saya bersetuju dengan harapan membuat pelaburan dalam emas tulen sebegini menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas dikatakan terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram.

Selain daripada tidak banyak maklumat yang diketahui dalam perkara jual beli jongkong emas, saya juga termakan dengan pemikiran bahawa tidak ramai orang Melayu melabur dalam jongkong emas kerana orang Melayu lebih berminat membeli barang kemas yang diperbuat daripada emas seperti emas 916 misalnya.

Isunya di sini yang menimbulkan persoalan dan kejutan kepada saya ialah ketika saya ke tempat ‘A’ untuk menjual balik ketulan emas di sana iaitu sebuah kedai emas terkemuka yang tidak perlu disebutkan nama demi menjaga reputasinya.

Saya terkedu apabila pekerja yang berurusan dengan saya menyatakan harga bagi jual balik adalah RM15,400 untuk 100 gram emas.

Sementara itu, harga untuk membeli pula adalah RM18,000 untuk 100 gram sedangkan pada masa itu harga emas di pasaran semasa adalah RM19,800.

Ekoran peristiwa ini saya rasa seperti ditipu dan sangat terkilan kerana untung lumayan dibayangkan tersasar jauh. Sebaliknya, kerugian yang bakal ditanggung jika saya meneruskan niat untuk menjual emas pada hari itu.

Melalui ruangan ini, saya berharap pihak berwajib seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara serta pihak berkuasa lain dapat memberi penjelasan dan garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.

Sumber: Utusan Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...