Bank Rakyat umum dividen 20% Tahun 2011

bank rakyat


Kalau emas tahun 2011 naik purata dalam 11% walaupun satu ketika dalam tahun 2011 emas naik lebih 40%, nampaknya tahun 2011 saham Bank Rakyat adalah pelaburan yang paling menguntungkan. Ini juga mungkin kerana keuntungan dari perkhidmatan Arrahnu yang semakin mendapat sambutan dari pelabur-pelabur emas di Malaysia.

Walaubagaimanapun, tahniah buat pemegang saham bank rakyat.

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) hari ini mengumumkan pengagihan dividen 20 peratus atau RM435 juta bagi tahun kewangan 2011, berbanding 15 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengagihan itu membabitkan pembayaran dividen tunai 15 peratus atau RM330 juta dan dividen bonus saham sebanyak 5.0 peratus atau RM105 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran yang lebih tinggi berkenaan disumbangkan oleh peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 17.6 peratus atau RM2.02 billion, paras tertinggi dalam sejarah penubuhannya, berbanding RM1.72 billion pada tahun sebelumnya.
“Rekod keuntungan ini dicapai hasil dari fokus bank terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan di samping peningkatan kualiti aset, walaupun terdapat cabaran dalam industri perbankan tempatan,” katanya ketika mengumumkan pengagihan dividen bank berkenaan di sini. – BERNAMA

p/s: Penulis menunggu dividen KPF plak.. Harap 20% jugak

Memiliki kereta secara pajakan

iswara

Jika pajak, kenderaan anda bukanlah aset anda

Adakah ia sesuatu yang bernas? Bagi saya ia nampak menarik kerana penyewa tidak perlu memikirkan kos-kos penyelenggaraan yang sememangnya kita ketahui agak mahal. Semuanya di tanggung oleh pemilik kenderaan atau pengusaha seperti DRB Hicom. Tetapi semuanya bergantung kepada rate yang akan di perkenalkan nanti. Kita tunggu je la bila dah di buka kepada individu nanti.

Mari kita baca Utusan di bawah.

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Kenapa perlunya memiliki kenderaan secara sewa beli jika anda boleh memajak pada kadar lebih menarik dan tidak perlu memikirkan soal penyelenggaraan.

Hari ini, DRB-HICOM Bhd. memperkenalkan konsep pemajakan kenderaan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus mampu menyelesaikan masalah untuk mendapatkan pembiayaannya.

Konsep pajakan yang diperkenalkan oleh anak syarikat DRB-HICOM, DRB-HICOM Leasing

Sdn. Bhd. (DLSB), membolehkan kenderaan persendirian dan komersial lebih mudah dimiliki orang ramai.

‘‘DRB-HICOM Leasing menyasarkan 5,000 hingga 10,000 pelanggan individu dalam tempoh tiga tahun akan datang jika ia menerima sambutan kelak,’’ kata Ketua Pegawai Operasi EON Bhd., Azman Idris.

Beliau berkata, konsep pajakan itu amat sesuai untuk digunapakai ketika pihak bank sedang hebat memperketatkan syarat-syarat kelulusan pinjaman kenderaan.

“Konsep pemajakan kenderaan telah lama menerima sambutan di Eropah dan negara-negara barat dan sudah pasti dapat meringankan beban kewangan orang ramai,” katanya sambil menambah pihak syarikat sebelum ini telah menjalankan pajakan kenderaan kepada kerajaan menerusi syarikat Spanco.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran MyLease dan perasmian Konsep 4S EON yang dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil, Pengerusi EON Bhd., Tan Sri Marzuki Mohd. Noor dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Lukman Ibrahim.

Konsep terbaharu ini membolehkan penyewa memiliki sebuah kereta baharu setiap beberapa tahun tanpa perlu memikirkan kos penyelenggaraan dan insurans atau pembaharuan cukai jalan kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh oleh pemilik aset.

Konsep ini adalah pilihan terbaik ketika bank sedang mengetatkan syarat-syarat kelulusan pinjaman kenderaan kerana bayaran bulanan adalah jauh lebih rendah berbanding sewa beli.

Antara pakej-pakej penyewaan yang ditawarkan oleh DLSB ialah program penggantian kereta selepas tamat tempoh pajakan, penyelenggaraan berjadual dan tidak berjadual, pusat panggilan 24 jam, bantuan kerosakan dan lain-lain.

Menurut Azman, kadar sewa pajakan akan ditambah dengan kos penyelenggaraan berjadual atau tidak berjadual bersama servis-servis lain bagi mendapatkan jumlah keseluruhan kadar sewa pajakan.

Jumlah keseluruhan sewa pajakan itu akan dibahagikan mengikut jumlah keseluruhan tempoh pajakan bagi mendapatkan kadar sewa pajakan yang tetap setiap bulan.

Katanya, sebagai permulaan pihaknya akan menawarkan kemudahan itu kepada syarikat sebelum orang ramai pada hujung tahun ini.

Hasil kajian menunjukkan, jika penyewa itu adalah individu, ia mampu memberi penjimatan antara 15 hingga 25 peratus dari pinjaman jual beli ketika ini.

“Apa yang menarik, model-model kereta yang ditawarkan tidak tertakluk kepada Proton sahaja kerana bergantung kepada permintaan pelanggan,” kata Azman.

SARA 1 Malaysia dibuka hari ini

1

Hari ini 30 Januari seperti yang di wawarkan sebelum ini akan dibuka jualan unit melibatkan SARA 1Malaysia  (Skim Amanah Rakyat 1Malaysia), skim yang terbaru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri.

Apa Yang Terkandung dalam SARA 1Malaysia (Skim Amanah Rakyat 1Malaysia) Ini?

  1. Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) akan diuruskan oleh syarikat tujuan khas (SPV), Malaysian Development Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan.
  2. Skim khas Sara 1Malaysia ini adalah bertujuan untuk menggalakkan penyertaan golongan berpendapatan rendah menabung dan melabur.
  3. Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah RM500 juta dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 isi rumah
  4. Bayaran Insentif bulanan disediakan kepada para peserta dalam bentuk unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) setiap bulan selama 5 tahun. Peserta perlu pastikan sentiasa mempunyai minimum 100 unit AS 1Malaysia dalam buku pelaburan pada setiap masa.

Cara Memohon Sara 1Malaysia (Borang Permohonan)

  1. Dapatkan borang permohonan Sara 1Malaysia di salah satu cawangan bank-bank terlibat iaitu Maybank, RHB, CIMB dan BSN mulai 30 Januari 2012. Borang-borang yang telah lengkap diisi berserta dokumen yang berkenaan hendaklah diserahkan kepada pihak bank untuk disemak dan dipertimbangkan.
  2. Jika anda berjaya, pihak akan menghubungi sendiri anda kelak
  3. Para pemohon diminta menyediakan dokumen-dokumen asal serta salinan yang disahkan seperti :
  • Kad pengenalan pemohon (2 salinan)
  • Kad pengenalan pasangan (jika berkenaan) (1 salinan)
  • Bukti pendapatan (1 salinan Penyata Gaji 3 bulan terkini & 1 salinan Penyata Bank 3 bulan terkini)
Syarat Kelayakan Permohonan Sara 1Malaysia
  1. Permohonan Skim Sara 1Malaysia ini terbuka warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 58 tahun
  2. Pendapatan kasar isi rumah pemohon mesti berada dilingkungan antara RM500 hingga RM3,000. Bermakna di sini, jumlah pendapatan kasar suami dan isteri mesti tak lebih RM3,000. Jelas?
  3. Pemohon tidak pernah muflis sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman
  4. Pemohon dan/atau pasangan tidak memiliki pelaburan di dalam mana-mana unit amanah ASNB ATAU; sekiranya ada, jumlah pelaburan terkumpul bersamaan atau kurang dari RM10,000
  5. Pemohon dan /atau pasangan tidak menerima bantuan dari skim-skim khas lain Kerajaan yang diuruskan oleh ASNB seperti Program Bantuan Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), ASB Sejahtera dan ASW 2020 Bandar
  6. Hanya salah seorang isi rumah yang layak memperolehi pembiayaan pinjaman
  7. Permohonan diluluskan bagi pinjaman di satu bank sahaja

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

1malaysia
Berita baik buat yang berpendapatan kurang dari RM3,000 dimana kerajaan hari ini melancarkan Skim Amanah Rakyat 1 Malaysia. Menurut info seperti di mstar.com.my ni, sesiapa yang membuat pelaburan RM5,000 akan memperolehi return RM134 sebulan
Skim Amanah Rakyat 1Malaysia Untuk Mereka Berpendapatan RM3,000 Ke Bawah Dilancar

KUALA LUMPUR: Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) kini dibuka kepada isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

Skim ini adalah untuk mengalakkan mereka yang berada di dalam kumpulan berpendapatan rendah untuk menabung, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancarannya di sini Khamis.

Najib telah mengumumkan mengenai pembentukan skim ini ketika membentangkan bajet 2012 hujung Oktober lalu.

Ia akan memberi faedah kepada sekurang-kurangnya 100,000 isi rumah.

Di bawah skim ini, mereka yang layak boleh melabur RM5,000 di dalam skum amanah berkenaan dan mampu menikmati pulangan pelaburan sehingga RM134 sebulan.

Mereka juga boleh memohon pinjaman daripada institusi kewangan untuk melabur di dalam skim tersebut.

Permohonan untuk melabur di dalam SARA 1Malaysia ini akan dibuka mulai 30 Januari ini.

 

Kredit: NST online

Ahli KWSP Kini Boleh Membuat Pendaftaran Haji

Tabung Haji_Kwsp

Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,300 dalam Akaun 1 KWSP boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari 2012.

Di bawah kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP, ahli KWSP boleh membuat pendaftaran untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji tanpa perlu mempunyai simpanan minimum RM1,300 dalam Tabung Haji. Dalam hubungan ini, Akaun 1 dipilih bagi membolehkan lebih ramai ahli berpeluang menggunakan kemudahan ini.

Pendaftaran bagi kemudahan ini boleh dibuat di semua kaunter TH, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara dan prosesnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh TH. Ahli KWSP perlu membawa bersama MyKad dan Penyata KWSP terkini yang boleh diperoleh dari cawangan KWSP terdekat, kios KWSP atau secara online melalui i-Akaun. Ahli KWSP tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk tujuan pendaftaran haji.

Untuk melayakkan diri membuat pendaftaran haji, ahli KWSP mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap beragama Islam. Mereka juga belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di TH. Ahli KWSP yang tidak mempunyai akaun simpanan di TH boleh membuka akaun tersebut dengan deposit minimum sebanyak RM2 sahaja.

Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur TH sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberikan sebelum ini.

Kemudahan ini tidak mempercepatkan tarikh mengerjakan haji. Tarikh untuk mengerjakan haji akan ditentukan oleh TH.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my. Sebagai pilihan, ahli boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03 – 8922 6000 atau Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03 – 6207 1919.

(NIK AFFENDI JAAFAR)
Pengurus Besar
Perhubungan Awam
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 30 Disember 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...